PIBG SMK BUKIT SENTOSA 2 RAWANG

PIBG SMK BUKIT SENTOSA 2 RAWANG

Jumaat, 2 November 2012

LEBIH 470,000 RIBU AMBIL SPM MULAI ISNIN INI !

Seramai 472,541 calon duduki SPM mulai Isnin ini 17 Zulhijjah 1433H. KUALA LUMPUR: Seramai 472,541 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 3,590 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai Isnin ini hingga 6 Dis. Sebanyak 415,530 calon daripada sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 7,708 calon daripada sekolah di bawah agensi kerajaan selain kementerian dan 7,946 calon daripada sekolah menengah agama negeri. Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini, berkata turut menduduki peperiksaan tahun ini ialah 11,309 calon sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian, 28,148 calon sekolah menengah agama rakyat dan 1,900 calon persendirian. Kenyataan itu berkata seramai 30,239 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar. Lembaga Peperiksaan mengingatkan calon untuk merujuk jadual waktu peperiksaan, arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan serta membuat persiapan awal bagi menghadapi perkara yang mungkin menghalang atau melewatkan mereka sampai ke pusat peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan. "Mereka diingatkan membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar. "Calon juga sentiasa diminta untuk peka dan mengikut perkembangan terkini melalui media sekiranya berlaku sebarang pindaan jadual atau perubahan pusat peperiksaan," kata kenyataan itu. Semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri juga telah dimaklumkan mengenai Ops Payung berkaitan banjir dan sekolah yang berisiko tinggi, dan telah diarah untuk menyediakan bilik peperiksaan alternatif yang selamat. Bantuan tempat tinggal, makanan dan keperluan asas akan disalur kepada calon yang terjejas akibat banjir dan Kementerian Pelajaran akan bekerja sama dengan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan calon dapat menduduki peperiksaan dengan selamat, kata Lembaga Peperiksaan. Bilik Gerakan Peperiksaan SPM akan beroperasi sepanjang peperiksaan berlangsung bermula dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang dan boleh dihubungi di talian 03-88843024/03-88893551/03-88893601 atau 03-88893520. - Bernama

Ahad, 21 Oktober 2012

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (2013 - 2025) ,APA YANG IBUBAPA FAHAM?

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (2013 - 2025) Pada Oktober 2011, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan kajian semula sistem pendidikan negara Malaysia secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu. Kerajaan telah mengambil keputusan melaksanakan kajian semula sistem pendidikan berdasarkan standard pendidikan antarabangsa yang kian meningkat, peningkatan aspirasi negara, dan harapan ibu bapa serta masyarakat terhadap dasar pendidikan negara dalam mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi keperluan abad ke-21. Dalam tempoh 11 bulan pelaksanaan kajian, Kemneterian telah memperoleh input daripada pelbagai sumber seperti laporan penyelidikan yang dijalankan oleh pakar pendidikan dari UNESCO, Bank Dunia, OECD, dan enam Institusi Pengajian Tinggi Awam. Kajian ini juga melibatkan penyertaan pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, orang awam dan murid di seluruh negara. Dokumen awal Pelan Pembangunan Pendidikan telah dibangunkan bagi menilai prestasi semasa sistem pendidikan Malaysia dengan mengambil kira secara objektif pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa. Pelan ini melakarkan visi sistem pendidikan dan murid yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan. Pelan ini juga mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian bagi mencapai visi yang dihasratkan. Usaha yang telah dirangka dan akan dilaksanakan untuk mentransformasi sistem pendidikan negara diharap dapat difahami dengan jelas oleh masyarakat keseluruhannya. Kementerian akan mendapatkan maklum balas tentang laporan awal pelan ini daripada seluruh komuniti sebelum laporan akhir pelan ini dihasilkan pada Disember 2012. Posted by amalhaj

Khamis, 18 Oktober 2012

PIBG IBARAT 'AUR DENGAN TEBING' PENDAMPING SEKOLAH

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan antara mekanisme penting dalam mewujudkan pendidikan yang berkualiti di sekolah. Menerusi PIBG, banyak program dan langkah boleh diatur dalam mengatasi pelbagai kekangan yang boleh mencacatkan iklim pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah. Salah satu peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai orang tengah antara guru dan ibu bapa. Banyak salah faham yang timbul antara kedua-dua belah pihak apabila berlakunya kejadian salah laku di kalangan pelajar. Kebanyakan ibu bapa lebih percaya akan kata-kata dan acuman anak-anak berbanding fakta sebenar daripada pihak guru. Bertolak dari situlah mereka mulai memandang serong kepada guru. Guru sering kali disalahkan untuk segala yang berlaku di sekolah. Ini termasuklah soal prestasi akademik dan masalah disiplin di kalangan pelajar. Ekoran itu, mereka mulai memulaukan sekolah dan mendendami guru tertentu. Namun dengan inisiatif PIBG, semua bentuk salah faham ini boleh diuraikan. Perbincangan yang lebih kerap, selain mesyuarat tahunan PIBG mampu menjernihkan suasana.. Hasilnya, situasi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Selain itu, PIBG sebagai sebuah organisasi yang berwibawa boleh menubuhkan tabung pendidikan untuk para pelajar di sesebuah sekolah. Tabung ini boleh diisi bukan sahaja menerusi sumbangan ahli persatuan bahkan juga oleh ahli korporat dan individu tertentu. Dana yang terkumpul ini boleh digunakan untuk kebajikan dan manfaat sekolah dan para pelajar. Ini termasuklah sumbangan kepada pelajar miskin, yatim dan ditimpa kemalangan. Dengan dana yang ada, prasarana pendidikan di sekolah dapat ditambah dan ditingkatkan. Hasilnya, para pelajar dan warga sekolah amnya dapat memaksimunkan tenaga ke arah kecemerlangan dalam pendidikan dan sekali gus merealisasikan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP) yang dicita-citakan. Di samping itu, PIBG juga boleh mengadakan seminar dan kem motivasi untuk para pelajar di setiap sekolah. Program seperti ini penting demi memberi kesedaran dan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dan berjaya. Pelajar yang bermasalah pula boleh disedarkan menerusi kem bina semangat dan kaunseling. Dengan langkah ini, mereka diharapkan akan berasa insaf dan kembali bersaing dengan rakan-rakan dalam pelajaran. Ekoran itu, kita bukan sahaja dapat mengurangkan gejala salah laku atau meningkatkan prestasi akademik pelajar, malahan sekolah akan dapat melahirkan generasi muda yang bersahsiah tinggi. Peranan lain yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai pemantau dan penilai terhadap perjalanan sekolah. Dengan kata lain, ahli PIBG boleh berfungsi sebagai penilai terhadap prestasi sekolah sama ada dalam hal-hal akademik mahupun kokurikulum. Susulan daripada itu, perbincangan boleh diadakan dari semasa ke semasa dengan pihak sekolah demi mengatasi sebarang kelemahan dan masalah yang dihadapi. Di samping itu, pihak persatuan juga boleh berfungsi sebagai penjamin atau penyelamat kepada guru sewaktu menjalankan tugas di sekolah. Hal ini wajar dilakukan kerana ramai kalangan guru berasa tertekan dan terancam apabila menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik. Akhir sekali, PIBG boleh juga mengadakan beberapa sesi gotong-royong di sekolah, misalnya gotong-royong menyiapkan bangunan tambahan, membina Taman Sains sekolah dan sebagainya. Gotong-royong yang diadakan ini bukan sahaja akan dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa dan pelajar, malahan juga dengan guru di sekolah. Hubungan yang mesra ini mampu melenyapkan prasangka antara ibu bapa dengan guru. Hasilnya, akan wujud kerjasama lain antara mereka. Dengan itu, segala bentuk program yang dirancang oleh sekolah akan berjalan dengan lancar. Ini sudah pasti membantu sekolah melahirkan lebih ramai pelaj ar yang berkualiti pada masa hadapan. Sesungguhnya PIBG dan sekolah ibarat ‘aur dengan tebing’ yang perlu saling membantu. Dengan kerjasama erat kedua-dua pihak sahaja kualiti pendidikan di sekolah dapat ditingkatkan.

Selasa, 9 Oktober 2012

SELAMAT MENEMPUH PMR 2012 WAHAI ANAK-ANAK KITA

Selamat Menempuh Peperiksaan PMR 2012 Selamat menduduki peperiksaan PMR kepada calon-calon PMR 2012 Sekolah Menengah Bukit Sentosa 2. Kami YDP dan AJK PIBG ingin mendoakan kejayaan anda semua. Semoga kecemerlangan menjadi milik anda semua. Kami PIBG cukup yakin jikalau anda seorang yang minat membaca tidak mustahil untuk anda berjaya dengan cemerlang. Banyak tokoh-tokoh yang luar biasa menyatakan kunci kejayaan mereka ialah membaca. Sekiranya anda suka membaca maka bukanlah sesuatu yang luar biasa jikalau anda berjaya dengan cemerlang. Selain itu banyak kunci lain untuk mengecap kejayaan cemerlang ini dan salah satu daripadanya ialah doa ibu bapa. Mintalah restu ibu bapa anda kerana itulah kunci kejayaan seseorang anak. Anda telah berusaha, anda telah berdoa dan yang selebihnya bertawakallah kepada Allah. Selamat menempuh alam peperiksaan PMR.

Khamis, 4 Oktober 2012

DUKACITA & SUKACITA SERTA ALHAMDULILLAH

Berita yang tak berapa sedap di ketahui ialah program mencari dana PIBG SMKBS2 tahun 2012 iaitu Program Cyclethon tertangguh buat sementara di sebabkan tempoh proses mendapat kelulusan tidak cukup.Walaubagaimanapun, gerakkerja meneruskan program itu akan dijayakan sehingga tahun depan. Manakala berita baik yang dapat PIBG kongsikan ialah kejayaan mendapat geran RM????? telah berjaya diperolehi dan alhamdulillah dapat juga PIBG menjalankan aktiviti dan program tanpa kekangan kewangan buat masa ini. Tahniah pada yang telah berusaha hingga mendapat geran tersebut.

Khamis, 27 September 2012

KONVO TKT 5 29 SEPTEMBER

MAJLIS KONVOKESYEN MURID-MURID TINGKATAN 5 SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BUKIT SENTOSA 2 KOHORT 3 TAHUN 2012 TARIKH : 29/9/2012 MASA : 8.00PAGI TEMPAT : DEWAN UMAR ABDUL AZIZ SMK BUKIT SENTOSA 2 KERJASAMA DARI PIHAK DATO'/DATUK/DATIN/TUAN/PUAN AMAT KAMI HARAPKAN DAN KAMI DAHULUI DENGAN UCAPAN JUTAAN TERIMA KASIH

Selasa, 14 Ogos 2012

JEMPUTAN MAJLIS IFTAR & SOLAT HAJAT 15 OGOS

Semua ibubapa anak-anak SMKBS2 dijemput hadir ke majlis iftar di SMKBS2 dan juga majlis solat maghrib. Selepas isyak akan dilakukan solat hajat untuk memohon kepada ALlah agar diselmat dari mara bahaya dan agar bahagia.

Selasa, 17 Julai 2012

PIBG BANTAH PELAJAR DIBENAR BAWA HENPON

PIBG bantah murid bawa telefon bimbit ke sekolah KUALA LUMPUR: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak merestui cadangan Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah atas alasan ia membawa lebih banyak keburukan terutama dari segi tumpuan para pelajar terhadap pembelajaran. Pengerusi PIBG Nasional Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata para pelajar tidak sepatutnya dibenarkan membawa sebarang peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit ke sekolah kerana ini bukan sahaja boleh mengganggu tumpuan mereka terhadap pelajaran, malahan akan mewujudkan budaya tunjuk-menunjuk dalam kalangan mereka. Beliau berkata, langkah ini juga dikhuatiri akan disalah guna termasuk membuat rakaman yang tidak sepatutnya selain mengganggu kesihatan untuk jangka masa panjang. “Telefon bimbit tidak boleh dibenarkan pada waktu sekolah, kalau luar waktu sekolah itu terpulang kepada ibu bapa atau penjaga,” katanya ketika dihubungi Bernama. Beliau mengulas keputusan Kementerian Pelajaran yang membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPAd ke sekolah, mulai tahun depan. Timbalan Menteri berkenaan Datuk Dr Wee Ka Siong berkata kementerian bagaimanapun akan menetapkan garis panduan yang mengawal penggunaan alat komunikasi tersebut bagi mengelakkan ia mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Mohamad Ali berkata, jika kebenaran itu diberi atas alasan keselamatan ia boleh dielakkan dengan memastikan wujud kerjasama, saling mempercayai serta komunikasi yang baik antara ibu bapa dan pihak pentadbiran sekolah. “Jika ibu bapa kurang percaya dengan sekolah, baik bincang dengan pihak sekolah. Kalau tak percaya juga boleh tukar anak-anak mereka ke sekolah lain. “Malah di sekolah ada disediakan telefon awam untuk anak-anak hubungi ibu bapa kalau ada kecemasan,” katanya. Sementara itu Presiden Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata langkah membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi ke sekolah mempunyai kesan baik dan buruk. Beliau berkata, dengan adanya telefon bimbit ia memudahkan ibu bapa memantau pergerakan anak-anak mereka dan pada masa sama membolehkan pelajar menghubungi keluarga jika berlaku sebarang kecemasan. Bagaimanapun, ia mungkin mendatangkan keburukan termasuk mengganggu pembelajaran pelajar berkenaan serta pelajar yang lain. Noor Azimah juga mencadangkan supaya pelajar hanya dibenarkan membawa telefon bimbit biasa dan bukannya telefon bimbit yang canggih. “Jangan bawa telefon canggih kerana ia akan buat orang tertarik nak curi. Kalau kena curi kena buat pemeriksaan dan ini menyebabkan kucar-kacir serta gangguan semasa waktu pembelajaran,” katanya. — Bernama

OLAHRAGA KALI KE 3 SUNGGUH MERIAH !

Guru Besar menyampaikan ucapan bersemangat dan kata alu-aluan pada hadirin.
YDP PIBG SMKBS2 menceriakan majlis dengan sudi menyampaikan hadiah pada pemenang.
Di rasmikan oleh YB Mohamad Isa Abu Kasim Adun Batang Kali dan alhamdulillah Sekolah melalui PIBG SMKBS2 telah diberi beberapa peruntukan insentif yang amat menggembirakan smeua terutama Guru Besar.

Jumaat, 13 Julai 2012

PERANAN PIBG DALAM PROSES PENDIDIKAN

PERANAN PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU DALAM PROSES PENDIDIKAN DI SEKOLAH. 1. PENDAHULUAN: PIBG yang ditubuhkan di sekolah seharusnya berfungsi sebagai satu 'Majlis' bukan satu 'Pertubuhan' yang terasing di sekolah. Kalaupun disebut sebagai 'Persatuan' hanyalah sebagai satu 'Kumpulan Seminat' sahaja. Maksudnya kumpulan orang yang prihatin kepada masalah pendidikan. Mereka terdiri daripada ibu bapa dan guru. PIBG sepatutnya dijadikan sebagai satu 'Medan' mengadakan 'Forum' untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran serta berunding (musyawarah) dalam suasana muhibbah bagi menyelesaikan masalah sekolah supaya dapat meningkatkan kecemerlangan pendidikan sekolah. Konsep PIBG membantu sekolah ini bermatlamat meringankan dan melicinkan perlaksanaan Program Pendidikan Sekolah dalam bidang kurikulum, ko-kurikulum, sahsiah dan budaya sekolah termasuk pembangunan infrastruktur (Prasarana fizikal). PIBG tidak boleh campurtangan dalam urusan pengelolaan dan pentadbiran sekolah. Ini kerana seseorang Pengetua atau Guru Besar sebagai Pengurus Sekolah telah dipertanggongjawabkan dengan Perintah-Perintah Am (General Order) mengenai arahan pentadbiran oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran Negeri untuk dilaksanakan. Justeru kerana itu PIBG mesti mengetahui dan memainkan peranan mengikut bidang tugas yang sewajarnya agar tidak menyeleweng dari fungsi sebenar penubuhan PIBG. 2. PROSES PENDIDIKAN DI SEKOLAH: Pendidikan ia lah proses pemerolehan dan pemindahan ilmu, nilai murni dan kemahiran-kemahiran. Proses pemerolehan dan pemindahan ilmu ini berlangsung secara berterusan dalam diri seseorang sejak dari 'janin' hingga ke akhir hayat. Proses pendidikan secara berterusan ini terkandung dalam pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. "Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak, bertanggongjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara". Matlamat pendidikan seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan rakyat dan warganegara yang baik. Pada amnya insan yang baik ia lah insan yang memiliki sahsiah yang seimbang dan bersepadu. Ia memiliki serta menghayati ciri-ciri berikut:- a. Percaya dan patuh kepada Tuhan. b. Berilmu pengetahuan dan berfikiran kreatif dan rasional. c. Berakhlak mulia. d. Berkeupayaan memberi sumbangan ke arah menambahkan kemakmuran masyarakat dan negara. e. Setia kepada negara dan bertanggongjawab untuk menjaga hubungan yang baik dan mesra antara insan dan memupuk perpaduan masyarakat Malaysia. Bagi mencapai hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan tersebut maka perlu ada penglibatan semua pihak dalam proses pendidikan. Sehubungan dengan itu PIBG mempunyai ruang dan tanggongjawab yang boleh dimainkan peranan ke arah melahirkan insan yang baik dengan kerjasama pihak Pengurusan Sekolah. 3. BIDANG TUGAS PIBG: Bidang tugas PIBG sepatutnya merangkumi perkara-perkara berikut:- a. Memberi perkhidmatan untuk kebajikan dan kemajuan murid-murid di sekolah. b. Membantu menambah usaha sekolah memenuhi keperluan dan kehendak kebendaan murid-murid dalam bidang kurikulum, ko-kurikulum, budaya sekolah dan bidang yang difikir perlu. c. Ibu bapa dan guru di sekolah boleh bertukar-tukar fikiran dan maklumat serta berunding dalam suasana muhibbah mengenai usaha meningkatkan taraf pelajaran murid-murid sama ada di rumah atau di sekolah. d. Bergotong-royong menyediakan kemudahan untuk faedah murid-murid. e. Menentukan murid-murid mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk belajar dan membuat kerja-kerja sekolah mereka dengan baik sama ada di sekolah atau di rumah. f. Membantu mewujudkan persekitaran sekolah (budaya sekolah) yang boleh mendorong ke arah perkembangan pengajaran dan pembelajaran untuk perkembangan jasmani rohani, emosi dan intelek murid secara menyeluruh dan bersepadu. g. Membantu pembangunan fizikal (infrstruktur) sekolah yang diperlukan dengan serta-merta. 4. KEKANGAN DAN HALANGAN: a. Ibu bapa: i. Kebanyakan ibu bapa mempunyai tahap pelajaran yang rendah dan terlalu sibuk dengan tugas mencari nafkah. ii. Ibu bapa meletak tanggongjawab mendidik anak-anak mereka 100% kepada guru. iii. Ibu bapa kurang memberi keutamaan kepada masalah persekolahan dan pendidikan anak-anak mereka. iv. Ibu bapa tidak mahu hadir ke sekolah berjumpa dan berbincang dengan guru atau berunding dengan guru berkaitan dengan pelajaran anak-anak mereka. v. Ibu bapa beranggapan menghadiri upacara rasmi sekolah sebagai perkara membuang masa. vi. Kebanyakan ibu bapa berasa rendah diri dan beranggapan mereka tidak setaraf dengan guru. vii. Kebanyakan ibu bapa bekerja sendiri dan pendapatan di bawah paras kemiskinan serta pendapatan tidak tetap. b. GURU: i. Ada sebilangan guru tidak mengajar bersungguh-sungguh dan beranggapan mereka bekerja semata-mata makan gaji. ii. Guru tidak berusaha menjalin hubungan dan pergaulan dengan ibu bapa. iii. Kerapkali salahlaku murid tidak dimaklum kepada ibu bapa terlebih dahulu. iv. Guru kurang mengadakan kelas bimbingan, kelas pemulihan dan kelas tambahan. v. Guru kurang menggunakan ABM dan ABB semasa mengajar. vi. Kurang latihan pengukuhan diberi kepada murid. vii. ABM dan BBM tidak mencukupi dan tidak releven. ix. Pengajaran guru kurang terancang. xi. Guru terpaksa mengajar bilangan murid yang ramai di kelas. xii. Guru kurang membuat ujian dan penilaian. xiii. Perhubungan guru dengan murid kurang mesra. c. MURID-MURID: i. Murid-Murid tinggal jauh dari sekolah. ii. Murid-murid terpaksa berjalan ke sekolah. iii. Murid-murid tidak ada kemudahan belajar di rumah. iv. Murid-murid tidak mempunyai perbelanjaan wang saku yang mencukupi ke sekolah. v. Murid mempunyai masa belajar yang kurang di rumah. vi. Murid-murid tidak belajar di rumah. vii. Murid-murid tidak peduli dengan kerja rumah yang diberi oleh guru dan tidak buat kerja rumah. viii. Murid-murid tidak mempunyai bahan bacaan di rumah. ix. Murid-murid kurang menerima perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah. x. Murid-murid kurang menggunakan kemudahan perpustakaan. 5. PENYELESAIAN MASALAH: a. IBU BAPA: i. Pihak pengurusan Sekolah dengan kerjasama PIBG perlu mengatur rancangan dan aktiviti untuk menyedarkan ibu bapa dan masyarakat bahawa tanggongjawab mendidik anak-anak mereka bukan seharusnya diletakkan 100% kepada guru-guru di sekolah. ii. PIBG perlu mengadakan aktiviti ke arah membantu ibu bapa dan masyarakat memperolehi ilmu dan kemahiran serta membina sikap yang positif dan sesuai. Aktiviti itu hendaklah berkaitan dengan perkembangan menyeluruh dan bersepadu anak-anak mereka dari segi jasmani, emosi rohani dan intelek. iii. Di samping itu kesedaran haruslah dipupuk di kalangan ibu bapa bahawa tanggongjawab memberi pendidikan yang sebenarnya (hakiki) bermula di rumah dan dikembangkan di sekolah oleh guru-guru sama ada di bilik darjah atau di luar bilik darjah melalui aktiviti ko-kurikulum sekolah. Kemudian murid itu sendiri mengamalkan dan menghayati segala ilmu yang diperolehi itu dalam kehidupan sehari-harian. b. GURU: Guru -guru hendaklah sedar bahawa tugas utama mereka bukan hanya semata-mata menyampai ilmu kepada murid-murid dibilik darjah sahaja tetapi guru mesti memainkan peranan seperti berikut:- i. Guru sebagai perancang, fasilitator dan pengurus pengajaran dan pembelajaran. ii. Guru sebagai pengembang dan pengukuh penguasaan kemahiran. iii. Guru sebagai pembentuk akhlak. vi. Guru sebagai contoh teladan (Rule Model). v. Guru sebagai agen perubahan Masyarakat. 6. KESIMPULAN: Dalam melaksanakan tanggongjawab dan amanah memajukan pendidikan adalah diharapkan pihak guru dan AJK PIBG dapat menghayati konsep etika kerja yang selaras dengan nilai-nilai murni Islam. Di antara etika kerja mengikut nilai-nilai Islam ia lah:- i. Bekerja dengan azam mengabdikan diri kepada Allah. ii. Bekerja denga ikhlas dan amanah. iii. Bekerja dengan tekun dan cekap. vi. Bekerja dengan semangat gotong-royong dan musyawarah serta berpandukan fikiran yang bersih. v. Bekerja dengan matlamat untuk kebahgiaan manusia sejagat di dunia dan di akhirat. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Zariat: 56. Maksudnya "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku". Posted by NoddenBerek12KBR at 5:21 PTG

Rabu, 27 Jun 2012

RANKING SEKOLAH IKUT SKM 2010

BANGI: Ranking sekolah bagi 2013 akan menggunapakai Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2010 (SKPM 2010) bertujuan memastikan penilaian prestasi sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih tepat dan objektif. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelaksanaan program latihan berterusan akan diperkenalkan bagi memastikan usaha melatih pengetua dan guru besar dapat menjamin kaedah menilai sekolah masing-masing dibuat dengan telus, terperinci, sistematik dan jujur. Beliau berkata demikian pada majlis anugerah tawaran baru kepada pengetua di sini, sebentar tadi. Pada 2001 Kementerian Pelajaran memperkenalkan sistem pemastian peningkatan Standard Tinggi Kualiti Pendidkan (STKP). Sementara itu, pada 2003 penilaian sekolah dilaksanakan menerusi instrumen SKPM.

Isnin, 23 April 2012

IBU BAPA DIHORMATI, GURU JANGAN DIMUSUHI

Guru perlu dihormati bukan dimusuhi JIKA disoroti kisah guru dan pelajar dulu, wujud persoalan mengapa kedua-dua golongan itu ibarat bermusuhan kini. Biarpun terkenal tegas dan garang, rasa hormat pelajar pada guru masih tinggi dan tidak tergamak bersengketa hanya kerana dihukum. Malangnya, zaman kini berbeza kerana pantang dicuit, kedua-dua pihak pasti berbalah dan bertegang urat mempertahankan pandangan serta hak masing-masing. Guru juga dikatakan sudah berani bertindak di luar batas profesionalisme manakala pelajar semakin galak mengambil tindakan sendiri ‘memalukan’ guru. Persoalannya, di manakah nilai kedudukan guru di mata pelajar juga hak pelajar di sisi guru? Adakah pelajar sengaja mencipta masalah dan masihkah guru menjadi golongan dihormati atau sebaliknya? Mantan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kedah, Zuraidi Rahim, berkata sukar mentafsirkan taraf kedudukan guru hari ini kerana pelajar tidak mempunyai rasa hormat kepada golongan itu. Malah, lebih mendukacitakan apabila mereka menjadikan guru sebagai musuh yang perlu diperangi. “Inilah hakikat terpaksa ditelan guru hari ini. Mereka terpaksa berdepan pelajar yang tidak langsung mahu mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru. “Malah, ada yang menjadikan guru sebagai golongan sasaran untuk melepaskan dendam. “Semakin moden cara berfikir, semakin kecil peranan guru di mata pelajar hingga hilang rasa hormat,” katanya. Akuinya, pelajar hari ini sudah semakin berani dan nekad mengambil tindakan sendiri sekiranya dihukum. “Dulu, rasa takut dan hormat pelajar pada guru menggunung tinggi. Sekarang mereka lihat guru semakin kecil dengan peranan yang terbatas. “Kuasa guru juga semakin terikat seperti tidak boleh merotan sesuka hati dan ibu bapa juga mudah melenting jika anak mereka ‘disentuh’,” katanya. Beliau berkata, pelajar hari ini tidak memahami hasrat murni guru apabila dikenakan hukuman dan menganggapnya mencabul hak asasi individu. Manakala guru pula dianggap menggunakan status dan kuasa untuk ‘mengikat’ pelajar bagi menurut perintah. “Keadaan ini menimbulkan kerumitan kerana masing-masing ada hujah untuk menegakkan pendirian. Isu kecil menjadi besar terutama jika membabitkan penggunaan fizikal. “Ditambah lagi sikap kedua-dua pihak yang tidak sebulu menjadikan pertelingkahan semakin serius dan meletakkan nilai murni di tangga paling bawah,” katanya. “Keadaan ini menunjukkan betapa kroniknya konflik hubungan kedua-dua pihak biarpun berada di bawah satu bumbung. “Guru mahupun pelajar seharusnya perlu bijak menilai dan jangan babitkan emosi kerana tidak menyelesaikan masalah. “Juga, usah menyalahkan antara satu sama lain kerana masing-masing ada kelemahan dan berhak menerima teguran demi kebaikan bersama,” katanya. Deretan isu panas membabitkan guru dan pelajar kini mengundang pelbagai persepsi kerana kedua-duanya tidak pernah berhenti bertingkah, sekali gus menggugat keharmonian dunia pendidikan negara. Pertelingkahan itu turut menimbulkan pertanyaan mengapa mereka ibarat seteru dan begitu kontras hingga dihambat kontroversi. Sikap saling tidak memahami juga penggunaan simbolik ‘perintah dan menurut’, katanya, menjadi punca mereka bermusuhan walaupun hanya isu kecil. “Ada segelintir guru atau pelajar lebih suka ia menjadi sensasi supaya boleh diketahui ramai. “Sepatutnya kedua-dua pihak perlu hormat antara satu sama lain, bukan merendahkan maruah masing-masing,” katanya. Beliau bagaimanapun bersetuju tindakan guru yang merotan, menghukum atau melakukan perkara di luar batas kemanusiaan wajar dikenakan tindakan tegas. “Jika guru memang bersalah wajar tindakan tegas diambil. Status disandang bukan bermaksud boleh menghukum atau menganiaya pelajar sesuka hati. “Pelajar yang melanggar peraturan dan tidak berdisiplin juga wajar dikenakan hukuman. Jangan ada sikap pilih kasih,” katanya. Katanya, bukan mahu menyalahkan, namun ramai ibu bapa lebih mementingkan kerjaya berbanding mengambil tahu persekolahan anak sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu pada guru. “Apabila anak mengadu, mereka drastik mengambil tindakan tanpa menyelidik lebih lanjut,” katanya. Beliau yakin insiden buruk membabitkan guru-pelajar hanya kes terpencil yang boleh diperbaiki. “Guru, ibu bapa dan pelajar juga perlu bersikap lebih terbuka, realistik, saling mempercayai dan menyokong antara satu sama lain. Pendidikan perlu berlangsung secara harmoni bagi menjamin hak semua. “Jangan kerana persengketaan, hubungan renggang. Kita akan rugi dan menanggung sesalan kelak,” katanya. - HARIAN METRO

Jumaat, 20 April 2012

MESYUARAT AJK PIBG KALI KE 2 2012

YDP PIBG SMK BUKIT SENTOSA 2 EN. MOHAMAD ZAMIR SEDANG BERBINCANG BERKENAAN PROGRAM GOTONG ROYONG DENGAN CIKGU ARIF
PEMANDANGAN CERIA DARI DALAM SMKBS2