PIBG SMK BUKIT SENTOSA 2 RAWANG

PIBG SMK BUKIT SENTOSA 2 RAWANG

Ahad, 21 Oktober 2012

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (2013 - 2025) ,APA YANG IBUBAPA FAHAM?

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (2013 - 2025) Pada Oktober 2011, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan kajian semula sistem pendidikan negara Malaysia secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu. Kerajaan telah mengambil keputusan melaksanakan kajian semula sistem pendidikan berdasarkan standard pendidikan antarabangsa yang kian meningkat, peningkatan aspirasi negara, dan harapan ibu bapa serta masyarakat terhadap dasar pendidikan negara dalam mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi keperluan abad ke-21. Dalam tempoh 11 bulan pelaksanaan kajian, Kemneterian telah memperoleh input daripada pelbagai sumber seperti laporan penyelidikan yang dijalankan oleh pakar pendidikan dari UNESCO, Bank Dunia, OECD, dan enam Institusi Pengajian Tinggi Awam. Kajian ini juga melibatkan penyertaan pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, orang awam dan murid di seluruh negara. Dokumen awal Pelan Pembangunan Pendidikan telah dibangunkan bagi menilai prestasi semasa sistem pendidikan Malaysia dengan mengambil kira secara objektif pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa. Pelan ini melakarkan visi sistem pendidikan dan murid yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan. Pelan ini juga mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian bagi mencapai visi yang dihasratkan. Usaha yang telah dirangka dan akan dilaksanakan untuk mentransformasi sistem pendidikan negara diharap dapat difahami dengan jelas oleh masyarakat keseluruhannya. Kementerian akan mendapatkan maklum balas tentang laporan awal pelan ini daripada seluruh komuniti sebelum laporan akhir pelan ini dihasilkan pada Disember 2012. Posted by amalhaj

Khamis, 18 Oktober 2012

PIBG IBARAT 'AUR DENGAN TEBING' PENDAMPING SEKOLAH

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan antara mekanisme penting dalam mewujudkan pendidikan yang berkualiti di sekolah. Menerusi PIBG, banyak program dan langkah boleh diatur dalam mengatasi pelbagai kekangan yang boleh mencacatkan iklim pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah. Salah satu peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai orang tengah antara guru dan ibu bapa. Banyak salah faham yang timbul antara kedua-dua belah pihak apabila berlakunya kejadian salah laku di kalangan pelajar. Kebanyakan ibu bapa lebih percaya akan kata-kata dan acuman anak-anak berbanding fakta sebenar daripada pihak guru. Bertolak dari situlah mereka mulai memandang serong kepada guru. Guru sering kali disalahkan untuk segala yang berlaku di sekolah. Ini termasuklah soal prestasi akademik dan masalah disiplin di kalangan pelajar. Ekoran itu, mereka mulai memulaukan sekolah dan mendendami guru tertentu. Namun dengan inisiatif PIBG, semua bentuk salah faham ini boleh diuraikan. Perbincangan yang lebih kerap, selain mesyuarat tahunan PIBG mampu menjernihkan suasana.. Hasilnya, situasi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Selain itu, PIBG sebagai sebuah organisasi yang berwibawa boleh menubuhkan tabung pendidikan untuk para pelajar di sesebuah sekolah. Tabung ini boleh diisi bukan sahaja menerusi sumbangan ahli persatuan bahkan juga oleh ahli korporat dan individu tertentu. Dana yang terkumpul ini boleh digunakan untuk kebajikan dan manfaat sekolah dan para pelajar. Ini termasuklah sumbangan kepada pelajar miskin, yatim dan ditimpa kemalangan. Dengan dana yang ada, prasarana pendidikan di sekolah dapat ditambah dan ditingkatkan. Hasilnya, para pelajar dan warga sekolah amnya dapat memaksimunkan tenaga ke arah kecemerlangan dalam pendidikan dan sekali gus merealisasikan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP) yang dicita-citakan. Di samping itu, PIBG juga boleh mengadakan seminar dan kem motivasi untuk para pelajar di setiap sekolah. Program seperti ini penting demi memberi kesedaran dan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dan berjaya. Pelajar yang bermasalah pula boleh disedarkan menerusi kem bina semangat dan kaunseling. Dengan langkah ini, mereka diharapkan akan berasa insaf dan kembali bersaing dengan rakan-rakan dalam pelajaran. Ekoran itu, kita bukan sahaja dapat mengurangkan gejala salah laku atau meningkatkan prestasi akademik pelajar, malahan sekolah akan dapat melahirkan generasi muda yang bersahsiah tinggi. Peranan lain yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai pemantau dan penilai terhadap perjalanan sekolah. Dengan kata lain, ahli PIBG boleh berfungsi sebagai penilai terhadap prestasi sekolah sama ada dalam hal-hal akademik mahupun kokurikulum. Susulan daripada itu, perbincangan boleh diadakan dari semasa ke semasa dengan pihak sekolah demi mengatasi sebarang kelemahan dan masalah yang dihadapi. Di samping itu, pihak persatuan juga boleh berfungsi sebagai penjamin atau penyelamat kepada guru sewaktu menjalankan tugas di sekolah. Hal ini wajar dilakukan kerana ramai kalangan guru berasa tertekan dan terancam apabila menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik. Akhir sekali, PIBG boleh juga mengadakan beberapa sesi gotong-royong di sekolah, misalnya gotong-royong menyiapkan bangunan tambahan, membina Taman Sains sekolah dan sebagainya. Gotong-royong yang diadakan ini bukan sahaja akan dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa dan pelajar, malahan juga dengan guru di sekolah. Hubungan yang mesra ini mampu melenyapkan prasangka antara ibu bapa dengan guru. Hasilnya, akan wujud kerjasama lain antara mereka. Dengan itu, segala bentuk program yang dirancang oleh sekolah akan berjalan dengan lancar. Ini sudah pasti membantu sekolah melahirkan lebih ramai pelaj ar yang berkualiti pada masa hadapan. Sesungguhnya PIBG dan sekolah ibarat ‘aur dengan tebing’ yang perlu saling membantu. Dengan kerjasama erat kedua-dua pihak sahaja kualiti pendidikan di sekolah dapat ditingkatkan.

Selasa, 9 Oktober 2012

SELAMAT MENEMPUH PMR 2012 WAHAI ANAK-ANAK KITA

Selamat Menempuh Peperiksaan PMR 2012 Selamat menduduki peperiksaan PMR kepada calon-calon PMR 2012 Sekolah Menengah Bukit Sentosa 2. Kami YDP dan AJK PIBG ingin mendoakan kejayaan anda semua. Semoga kecemerlangan menjadi milik anda semua. Kami PIBG cukup yakin jikalau anda seorang yang minat membaca tidak mustahil untuk anda berjaya dengan cemerlang. Banyak tokoh-tokoh yang luar biasa menyatakan kunci kejayaan mereka ialah membaca. Sekiranya anda suka membaca maka bukanlah sesuatu yang luar biasa jikalau anda berjaya dengan cemerlang. Selain itu banyak kunci lain untuk mengecap kejayaan cemerlang ini dan salah satu daripadanya ialah doa ibu bapa. Mintalah restu ibu bapa anda kerana itulah kunci kejayaan seseorang anak. Anda telah berusaha, anda telah berdoa dan yang selebihnya bertawakallah kepada Allah. Selamat menempuh alam peperiksaan PMR.

Khamis, 4 Oktober 2012

DUKACITA & SUKACITA SERTA ALHAMDULILLAH

Berita yang tak berapa sedap di ketahui ialah program mencari dana PIBG SMKBS2 tahun 2012 iaitu Program Cyclethon tertangguh buat sementara di sebabkan tempoh proses mendapat kelulusan tidak cukup.Walaubagaimanapun, gerakkerja meneruskan program itu akan dijayakan sehingga tahun depan. Manakala berita baik yang dapat PIBG kongsikan ialah kejayaan mendapat geran RM????? telah berjaya diperolehi dan alhamdulillah dapat juga PIBG menjalankan aktiviti dan program tanpa kekangan kewangan buat masa ini. Tahniah pada yang telah berusaha hingga mendapat geran tersebut.