PIBG SMK BUKIT SENTOSA 2 RAWANG
Khamis, 13 Jun 2013
TAHNIAH PADA WAKIL PASUKAN PENGAKAP SMKBS2 KE MERSING !
14 - 16 Jun 2013
Kem Pendidikan Marin Pengakap Laut Kebangsaan Kali Kedua
2013
Pusat Taman Laut. Pulau Tinggi. Mersing, Johor
Selasa, 11 Jun 2013
SIAPA KATA TUGAS GURU MUDAH ! TAPI KALAU TEKUN DAN SABAR INSYALLAH
Jika dahulu tugas guru hanya mengajar, tapi sekarang tugas guru dialah kerani untuk kira-kira, dialah juru sukan untuk melatih, dialah segalanya. Masuk 7 pagi balik 4 petang. Itu biasa, ditambahkan pula mengajar dalam satu kelas yang dipenuhi oleh 40 orang murid sekaligus. Di situ dialah pula menjadi bapa atau ibu, dan ditambahkan dengan mata pelajaran yang diajar menyebabkan rasa bukan hanya sekadar mengajar malah lebih pada itu.
"Jadi? Ya, kerja guru memang teruk!"
"Benar? Tidak! Bukan teruk."
"Mengapa? Walhal ada ja guru yang komplain selama ini."
"Tak semua guru macam tu, maybe suku dari keseluruhan, kerana..."
Teruk bagi mata orang yang melihat diluar. Tetapi cinta bagi mereka yang mendidik. Biarpun dilanda pelbagai halangan dan rintangan, untuk mendidik anak bangsa ianya langsung tidak mematahkan semangat mereka. Bayangkan tugas guru bukannya mudah, tetapi demi melihat anak bangsa berjaya mereka sanggup berkorban apa sahaja. Baik dari segi harta, masa dan tenaga.
Guru Oh Guru,
Jika ditanya siapa guru? Mesti ada yang berkata. Guru yang mengajar di sekolah! Benar ianya tidak dinafikan sama sekali, tetapi sebelum nak bertanya lagi. Elok kita faham apa itu guru. Secara ringkasnya guru dinamakan sebagai pendidik atau pengajar. Apabila dikatakan 'pendidik,' bermakna di rumah ibu bapa juga merupakan sebagai guru kepada kita. Setuju?
Jadi bermakna guru yang paling awal dalam hidup kita ialah ibu bapa kita sendiri, selepas itu barulah guru di sekolah, kuliah atau di mana-mana sahaja. Dalam kiraan hidup ini, sebenarnya masa kita lebih kepada guru diluar berbanding guru di dalam rumah. Secara formalnya masa guru di sekolah lebih banyak diguna pakai. Jadi guru di sekolah boleh dikatakan sebagai ibu atau ayah yang kedua bagi diri kita sendiri.
Malahan, jika seorang pelajar yang menginap di asrama, itu lagilah dikatakan masa lebih banyak kepada guru, kerana hampir dua minggu tinggal bersama guru yang menjadi warden asrama, untuk menjaga mereka. Jadi secara tidak dapat tidak, guru merupakan penjaga kita selepas ibu dan ayah kandung kita sendiri. Ini bermakna tugasan guru yang dikatakan teruk itu sebenarnya adalah mulia.
Mulianya Tugas Seorang Guru,
Guru yang memberi ilmu merupakan lilin yang menerangi kegelapan. Ilmu yang dicurahkan memberi panduan kepada seorang pelajar dalam membawa arus kehidupan. Bak kata Usman Awang, di dalam sajaknya,
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
menunjukkan peranan guru sangatlah mulia dalam mendidik siapa sahaja di atas muka bumi ini. Perit, penat lelah mereka hanya akan hilang apabila melihat anak muridnya menjadi orang. Yang berguna untuk agama, nusa dan bangsa.
Pengalaman Sendiri,
Secara peribadinya diriku bukanlah seorang pelajar yang skema semasa di bangku sekolah menengah. Tapi tak jahat, cuma nakal sahaja bak kata orang. Alkisah ada sekali tu, aku kantoi ponteng kelas. Terus dipanggil masuk bilik disiplin. Maklum sahaja bilik disiplin merupakan bilik kedua aku selepas bilik darjah. Tanpa berkata apa penampar dulu baham ke muka. Tersipu aku dibuatnya, menahan kesakitan. Suasana diam seketika,
"Betul kamu ponteng kelas?" Suara cikgu disiplin bertanya memecah kesunyian seketika.
Tanpa fikir panjang lalu aku mengaku sahaja, pelbagai leteran diberikan kepada ku. Paling aku tersentap dengan ayat yang cikgu disiplin kata,
"Kamu sebenarnya bukan tak cerdik, cuma kamu tu malas. Jika malas tu kamu buang insyaAllah berjaya."
Sebelum ini secara jujurnya memang kedudukan markah aku antara yang tercorot di sekolah, atas sedikit usaha yang aku tonjolkan selepas kejadian, Alhamdulilah akhir berjaya juga aku terbang untuk belajar di negara orang. Jadi inilah yang aku rasa pengalaman yang amat berharga, penampar sedas di muka dan nasihat sepukul kata. Membuatkan aku berubah sedikit demi sedikit.
Akhir Kata,
Apakah kerja guru memang teruk? Pada diriku sendiri tidak dinafikan ada teruknya juga. Tetapi teruk yang dikatakan itu rasanya akan hilang apabila melihat anak didiknya berjaya. Rasa lelah, penat, letih dalam mendidik dapat dilangsaikan dengan melihat anak muridnya menjadi seorang yang berjaya.
Bukan hanya berjaya dari segi pelajaran tapi berjaya dari segi akhlak dan sahsiah. Itu lebih penting dan digalakkan. Tak guna jadi murid yang cerdik pandai tapi kurang adab dengan guru. Amatlah rugi sekali jika kita tergolong dalam sikap sebegitu.
Untuk itu, saya dengan rendah dirinya nak ucapkan selamat hari guru kepada semua pendidik di tanah air, doakan kejayaan saya disini. Andai ada salah dan silap saya mohon ampun dan maaf.
AshrafHadi
16.MEI.2013
Mafraq, Jordan.
Rabu, 15 Mei 2013
SELAMAT HARI GURU SMK BUKIT SENTOSA 2 !
Sebagai wakil YDP PIBG SMKBS2 dan ajk PIBG mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru terutama kepada Guru Besar Sekolah SMK BS2 dan Ustaz serta Ustazah agar teruskan pejuangan mendidik anak semua bangsa Malaysia agar menjadi rakyat yang berguna dan menghormati ibu bapa dan guru serta orang yang lebih tua.
Khamis, 28 Mac 2013
GURU TERKECIL ?
Inilah Guru Paling Kecil Di Dunia | SEWAKTU berumur 18 tahun, beliau pernah dilabelkan sebagai peserta sarkas pelik, namun lelaki kenit Azad Singh yang berketinggian hanya 91 sentimeter (sm) berjaya menutup mulut masyarakat setempat apabila menjadi guru paling kecil di dunia.
Azad, 22, disahkan menghidap sejenis penyakit gangguan genetik luar biasa yang menghentikan tumbesarannya ketika berumur lima tahun, sekali gus kekal sehingga ke hari ini.
Anak muda yang amat kecil itu, bertanggungjawab mengajar mata pelajaran kemahiran komputer di sebuah sekolah rendah perempuan dalam Haryana, India.
"Kesemua pelajar saya lebih tinggi daripada saya," katanya sambil ketawa.
Bagaimanapun, Azad mempunyai sedikit masalah untuk mengajar, beliau terpaksa berdiri di atas meja guru untuk membolehkannya menulis di papan putih.
Pelajar turut menggelar Azad sebagai 'Chotu' atau 'Cikgu kecil' berikutan memiliki ketinggian 91 sm serta berat 18 kilogram (kg).
"Sejak bekerja sebagai guru, saya memiliki pendapatan sendiri iaitu setiap bulan saya menerima 10,000 rupees (RM563.70)," katanya.
Azad terpaksa akur dengan fizikalnya di mana beliau terpaksa memakai pakaian kanak-kanak walaupun usianya telah mencecah golongan dewasa.
Beliau berkata, walaupun tubuh badannya kenit dan tidak akan membesar seperti lelaki normal, beliau amat berbangga kerana mampu mencapai impian yang diidamkan iaitu menjadi seorang guru.
"Masyarakat sememangnya melayan saya sebagai lelaki normal kerana kini saya sudah bekerja dan pekerjaan saya ini amat dihormati orang ramai.
"Pernah sekali ketika saya berusia 18 tahun, saya telah disalah tafsir sebagai bayi oleh seorang pengawal kereta api.
"Sewaktu di sekolah pula saya juga pernah dibuli kerana masalah saiz badan saya dan berasa amat takut dengan ancaman yang saya berkemungkinan akan diculik oleh pengurus sarkas," katanya.
Bagaimanapun, Azad berkata cemuhan yang dilemparkan kepadanya sewaktu di zaman kanak-kanak menjadi pemangkin kepada beliau untuk membina karakter, sekali gus mematangkannya sehari demi sehari.
"Si pembuli itu berjaya membuatkan saya berusaha keras mencapai matlamat dan mereka tidak akan dapat berkata apa-apa lagi sekarang ini," katanya.
Selasa, 26 Mac 2013
NUKILAN PENASIHAT PIBG SMKBS2
Ciri-Ciri Pelajar Berkesan
Assalamualaikum wm. wb.
Warga SuTAS yang dirahmati ALLAH
1.
Terdapat banyak kajian tentang sekolah berkesan ( Weber 1971, Edmonds 1979, Brookeover et. al 1979, Rutter et al. 1979,Reynolds 1882) yang berpaksikan pengetua, guru, pelajar, fizikal dan prasarana sekolah dan kesemuanya saling berinteraksi antara satu sama lain dalam satu proses yang berterusan. Walau bagaimanapun kajian tentang pelajar di sekolah berkesan adalah terhad dan kurang diberi tumpuan.
2.
Terdapat dua perkara utama yang saling berinteraksi dalam menentukan pelajar berkesan iaitu
Ciri-ciri pelajar berkesan : iaitu sifat- sifat pelajar yang jelas di lihat atau di kenalpasti seperti pendiam, periang ataupun pemarah, dan
Faktor-faktor yang membentuk ciri-ciri pelajar pelajar berkesan: seperti seseorang pelajar itu periang kerana dia mempunyai latar belakang kerluaga yang berpelajaran, mempunyai tahap sosio-ekonomi yang baik dan mendapat kasih sayang dari keluarga sepenuhnya.
3.
Pelajar yang mempunyai latar belakang sosio-ekonomi yang baik: Di dalam kajian sekolah berkesan di Belanda, Meijen (1984) mendapati latar belakang sosio ekonomi yang kurang memuaskan adalah merupakan faktor kepada pencapaian akademik yang rendah. Sekiranya pelajar tidak dapat menyediakan diri dan peralatan yang cukup dalam proses pengajaran dan pembelajaran, maka pencapaian akademik juga tidak memuaskan. Coleman (1966) dan kajian Ramsay et.al.(1982) juga mendapati kanak-kanak dari keluarga yang berpendapatan rendah tidak dapat belajar dan tidak mempedulikan aktiviti sekolah. Di Afrika, ramai kanak-kanak tidak mampu untuk meneruskan persekolahan mereka dan berada dalam amat kekurangan kerana kemiskinan.
Walau bagaimanapun, Ronalds Edmonds (1985) tidak menyokong pendapat ini kerana menurutnya pelajar dari keluarga dengan tahap soio-ekonomi yang rendah juga menikmati kejayaan yang tinggi dalam pelajaran. Begitu juga kajian Reynolds (1994) dan Trupp(1996) mengenai pertalian diantara pencapaian pelajar dengan tahap sosio ekonomi mendapati pelajar yang mempunyai status ekonomi yang rendah boleh meningkatkan pencapaian akademik mereka apabila diberi peluang untuk belajar dan bercampur dengan pelajar yang berstatus sosio-ekonomi yang tinggi.
4.
Pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang tinggi: Menurut Levine dan Lezzotte (1990), sekolah berkesan adalah sekolah yang mempunyai pelajar yang mempunyai pencapaian tinggi dalam mata pelajaran tertentu khususnya matematik, sains , bahasa, kehadiran ke sekolah dan kepuasan pelajar. Pendapat ini di sokong oleh Felsenthel (1982), bagi mewujudkan sekolah berkesan, majoriti pelajarnya mendapat keputusan yang tinggi dalam peperiksaan awam. Ketiga-tiga pendapat ini sepakat mendapati bahawa pelajar yang berkesan yang lahir dari sekolah berkesan mestilah mempunyai pencapaian akademik yang baik dan cemerlang. Ini menunjukkan bahawa pelajar yang lemah dan merosot pencapaian akademiknya adalah pelajar yang tidak berkesan.
5.
Memberikan tumpuan penuh kepada pengajaran guru: Dalam kajian Hasan dan Haris (1993), didapati guru-guru tidak mendapat respon positif daripada pelajar. Ini menyebabkan P&P mereka tidak berkesan. Penekanana yang sama diberikan oleh Bekas Pengarah Pendidikan Guru iaitu Tuan Haji Ahmad Mohd Said (Berita Harian, 3 September 1998). Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pelajar yang berkesan adalah pelajar yang dapat memberi kerjasama dan tumpuan kepada proses P&P.
6.
Pelajar bermotivasi: Pelajar yang berkesan adalah pelajar yang bersemangat dan aktif dalam pelajaran mahupun kokurikulum. Pelajar rajin dan bermotivasi dalam menyediakan diri menghadapi peperiksaan untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Pelajar membuat persediaan awal dan yakin pada diri sendiri. Pelajar membuat jadual waktu sendiri dan selalu mengulangkaji pelajaran.
5.
Berdisiplin: Menurut Bantock(1973), pelajar yang berkesan mempunyai disiplin dan pencapaian akademik di dalam peperiksaan yang tinggi. Pendapat ini juga di sokong oleh Razali Othman (1990). Oleh yang demikian,jika pelajar tidak berdisiplin seperti yang ponteng, bergaduh,tidak menghormati guru, mencuri ,tidak membuat kerja sekolah dan sebagainya, mereka adalah pelajar yang tidak berkesan.
6.
Mampu membina hubungan interpersonal positif: Pelajar yang berkesan dapat bersosial dan berinteraksi dengan guru-guru dan rakan-rakan secara lebih berkesan. Ini menjadikan pelajar berasa selamat dan selesa di dalam persekitaran sekolah. Pelajar yang suka ke sekolah ini juga membantu mewujudkan iklim sekolah yang berkesan. Sebagaimana yang ditergaskan oleh Rahimah dan Zulkefli (1996).
7.
Mempunyai nilai murni dan akhlak yang mulia: Pelajar yang berkesan mestilah mempunyai akhlak yang mulia dan budi pekerti yang tinggi. Menurut Shahril Marzuki(2001), pengetua perlu mempunyai keperibadian dan akhlak yang mulia dan boleh dijadikan “uswatun hasanah”(model terbaik) kepada para pelajar. Ini adalah kerana pepatah mengatakan “guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari”. Oleh itu, pelajar yang kasar, samseng dan gengster serta melakukan juvana dikatakan tidak berkesan.
8.
Menimba ilmu pengetahuan: Pelajar yang berkesan adalah pelajar yang berilmu. Kebanyakan masa dimanfaatkan kepada kepada perkara berfaedah terutama menimba ilmu. Pelajar yang tidak mengamalkan budaya membaca akan lemah dari segi kognitif dan tindakan mereka. Oleh itu pelajar yang berpotensi cemerlang dalam akademik perlu di beri peluang dan diberikan pujian dan sokongan sama ada di dalam kelas ataupun perhimpunan mingguan sekolah (Brookeover et. al. 1979; Whyne 1980,dan Halingger 1984). Justeru itu, dapat dikatakan pelajar yang malas dan suka melepak adalah pelajar yang tidak berkesan.
9.
Menjaga kesihatan dan keselamatan diri: Pelajar yang berkesan adalah pelajar yang dapat menjaga kebersihan dan menguruskan diri dengan baik serta keselamatan diri. Lippitz dalam (Hare 1988:413) menyatakan sekolah berkesan adalah sekolah yang selamat dan teratur. Jika pelajar berasa terancam semasa di sekolah sama ada daripada bulu, gangsterisme dan sebagainya, pelajar tersebut adalah tidak berkesan. Di Afrika, kanak-kanak menjadi tidak berkesan kerana tidak berkasut dan tidak mendapat makanan yang seimbang. Mereka menjadi lemah,berpenyakit dan pengotor. Keadaan ini menyebabkannya tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran.
10.
Bertawakkal: Pelajar yang telah berusaha dan berdoa kepada Tuhan adalah pelajar berkesan. Dari segi emosi dan semangatnya adalah stabil kerana ia berserah kepada yang Maha Esa.
Moga ada manfaatnya. tk.
Langgan:
Catatan (Atom)


